`Baliklah, ibu ayah kami rindu’
Ibu, ayah, kami rindu. Hidup di sini susah, duit belanja tak ada. Kalau nenek sihat kami ada makan, kalau tak, kami berlapar. Baliklah, walau sekali. Kami mahu lihat wajah ibu dan ayah.”
Begitulah luahan hati Siti Aishah Mohd. Jaafar, 12, kepada ibu bapanya yang telah meninggalkan dia dan tiga orang adiknya bersama nenek mereka, Normah Sutan Temegung, 58.
Dengan linangan air mata, riak wajahnya menampakkan rayuan yang bersungguh-sungguh kepada mereka agar kembali untuk memberikan kasih dan sayang.
Sejak `ditinggalkan’ pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu dengan pemberian duit raya sebanyak RM1 setiap seorang, ibu bapa kanak-kanak malang itu terus menghilangkan diri.
Siti Aishah dan adik-adiknya, Mohd. Nor Fitri Mohd. Jaafar, 10, Siti Shafinah Mohd. Jaafar, 8, dan Mohd. Lokman Mohd. Jaafar, 6, terpaksa menumpang kasih bersama neneknya, seorang balu dan penghidap darah tinggi, dalam keadaan yang miskin.
Mereka juga tidak punya sanak saudara untuk bergantung nasib.
“Kami sudah tidak punya tempat berteduh. Saya kumpul bahan terbuang seperti kotak, suratkhabar dan tin kosong untuk dapatkan RM10 seminggu selain bantuan sebanyak RM250 sebulan daripada Pusat Zakat Selangor,” kata Normah.
Namun, banyak yang tidak dapat diberi kepada cucunya itu.
Sebagai makanan harian mereka mendapat nasi berlaukkan kicap.
Di sekolah, iaitu Sekolah Kebangsaan Selayang Baru, kanak-kanak tersebut mendapat makanan percuma menerusi Rancangan Makanan Tambahan tanpa duit belanja.
“Kalau ada pun, saya hanya mampu beri 10 sen setiap seorang,” kata Normah kepada pemberita di kediaman di Selayang Baru, dekat sini.
Apabila tiba musim perayaan, hati Normah begitu sedih kerana tidak mampu meraikannya sebagaimana orang lain, iaitu dengan pakaian yang baru dan makanan yang enak serta mewah.
Nasib keluarga malang itu itu bagaimanapun mendapat perhatian Biro Pengaduan Awam Pergerakan Pemuda UMNO apabila Setiausahanya, Zaini Othman, menyampaikan sumbangan berjumlah RM500 kepada Normah di rumahnya.
“Pihak Pemuda berharap sumbangan ini akan dapat meringankan beban Normah dalam meraikan Hari Raya Aidilfitri,” katanya yang mewakili Pengerusinya, Datuk Subahan Kamal yang tidak dapat hadir atas sebab kematian bapanya hari ini .
Zaini menambah, pihaknya juga sedang berusaha dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mempercepatkan pemberian bayaran bantuan bulanan kepada mereka yang dipohon beberapa minggu yang lalu.
“Selain itu, kami juga sedang mencari tempat tinggal yang lebih sesuai dan selesa untuk mereka, seelok-eloknya berhampiran dengan sekolah cucu-cucu Normah,” katanya lagi.
Pihak yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui nombor akaun Bank Simpanan Nasional 1411629000075604 atau alamat No. 14, Jalan 26, Selayang Baru, 68100 Batu Caves, Selangor.
October 19th, 2005 at 6:39 am
macam program bersama mu TV3 kan pelangi?..ini review program tu kah?..sedihlah baca kisah dorang ni…
October 28th, 2005 at 10:23 am
Mmg che’gu seorang yg hibat… artikel mmg power..!! caya la!